Amazing Selangor
Wednesday, 23 January 2019
Selangor Tewaskan Belanda Hanya Satu Malam!
#SEJARAH | Jika membaca tajuk di atas mungkin seakan tidak percaya kebenarannya, namun ia adalah fakta sejarah kehebatan kita dalam penentangan terhadap penjajahan.
Selangor Ditawan Oleh Belanda
02 Ogos 1784 – Pada tahun 1784, Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784.
Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan pengikutnya berundur ke negeri Pahang.
Serangan Belanda ke atas Selangor ini adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka.
Ini kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka di mana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat bantuan dari Betawi, Jawa.
Dengan penguasaan Belanda ke atas Selangor selepas mengharungi peperangan sengit, Belanda telah memperkuatkan lagi Kota di Kuala Selangor yang terletak di atas Bukit Melawati.
Untuk beberapa waktu Belanda juga menguasai perjalanan lalulintas Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah dan gambir.
Selangor Lancar Serangan Tawan Kembali Bukit Melawati
28 Jun 1785 – Pada tahun 1785, tentera Belanda kalah di Selangor setelah diserang oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah. Orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu-kubu mereka di Kuala Selangor, balik ke Melaka.
Orang-orang Belanda itu telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah, (Sultan Selangor ke 2) yang diketuai oleh Baginda sendiri dengan bantuan dua ribu orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid. Serangan ke atas kubu-kubu itu dilakukan pada waktu malam (27 Jun 1785).
Ketika Kompeni Belanda berkuasa di Kuala Selangor mereka mengambil alih kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim di Kuala Selangor dan melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai Pemangku Yang Dipertuan Selangor.
Tetapi pada hari ini dalam tahun 1785, Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya menawan kembali kubu Kuala Selangor. Belanda telah diusir keluar dari situ.
Apabila Sultan Ibrahim berkuasa semula baginda telah memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala Selangor.
Melihatkan kekuatan kerajaan Sultan Ibrahim, Kompeni Belanda memutuskan untuk berbaik-baik. Ekoran daripada itu, pada 29 Jun 1786, satu perjanjian telah ditandatangani oleh kedua belah pihak.
Kemenangan yang dicapai pada hari ini dalam tahun 1785, mampu menebus kembali kekalahan Selangor dan semangat bersatu yang tertinggi di kalangan rakyat merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan tersebut.
SUMBER: Arkib Negara Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)
Selangor Tewaskan Belanda Hanya Satu Malam!
#SEJARAH | Jika membaca tajuk di atas mungkin seakan tidak percaya kebenarannya, namun ia adalah fakta sejarah kehebatan kita dalam pen...
-
#SEJARAH | Jika membaca tajuk di atas mungkin seakan tidak percaya kebenarannya, namun ia adalah fakta sejarah kehebatan kita dalam pen...